Khianat Mampu Meruntuhkan Negara
Perbuatan khianat adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab atas amanah yang diberikan dan boleh mencetuskan pelbagai masalah dalam masyarakat dan negara. Masyarakat pada masa kini menganggap perbuatan khianat adalah perkara biasa untuk dilakukan. Ramai individu yang terlibat dengan melakukan perbuatan khianat boleh diibaratkan seperti api dalam sekam yang diluar mereka dilihat menjalankan amanah dan berbuat baik tetapi dalam masa sama melakukan perbuatan khianat secara tersembunyi.
Melakukan perbuatan khianat akan menyebabkan seseorang itu tidak dipercayai oleh orang yang berada disekelilingnya. Percakapan dan perbuatannya akan diragui oleh orang lain kerana khianat yang dilakukan. Perselisihan faham akan timbul daripada rasa marah dan dendam akibat dikhianati. Seterusnya akan menyebabkan saling bermusuhan dan berlaku perpecahan antara satu sama lain dalam mayarakat dan negara.
Khianat yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam masyarakat akan membawa kepada masyarakat yang tidak bermoral dan tidak berakhlak. Keperibadian masyarakat akan rosak kerana melazimi perbuatan menipu dan menindas orang lain. Akibatnya akan menyebabkan negara mempunyai rakyat yang bermasalah. Hal ini juga mendatangkan tanggapan buruk kepada negara luar.
Perbuatan khianat turut berlaku melalui salah guna kuasa sehingga boleh menggugat kestabilan sesebuah negara. Pengkhianat negara sanggup membocorkan rahsia negara ataupun menjual data negara kepada pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan wang. Ada juga yang berkhianat dengan melakukan perbuatan pecah amanah melalui kerjasama dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menyeludup barang-barang yang tidak sepatutnya. Tindakan ini membuka ruang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama baik negara atau menyerang negara kerana mengetahui kelemahan negara. Kesan daripada tindakan ini dapat menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Mungkin ada yang berpendapat perbuatan khianat tidak ada yang mengetahui apabila seseorang itu melakukannya secara tersembunyi. Perbuatan ini sememangnya adalah kesalahan yang sangat besar dan tidak boleh dimaafkan di seluruh negara. Jika perbuatan tersebut diketahui, pelaku khianat perlu menanggung akibat buruk atas kesalahan yang dilakukan dengan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas akan merugikan dan memalukan diri sendiri.
Perbuatan khianat mendatangkan kesan-kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu tetapi turut memberi kesan kepada masyarakat dan negara. Melakukan perbuatan khianat juga salah disisi undang-undang negara. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berlaku jujur dalam melakukan sesuatu perbuatan.
Semoga bermanfaat.
#teknologimaklumatdakwah
Comments
Post a Comment