Tokoh Dakwah: Fathi Yakan


Pengenalan

Dakwah merupakan satu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Perlaksanaan dakwah telah menjadi tanggungjawab bagi nabi dan rasul untuk menyampaikan dakwah kepada umatnya. Dakwah yang disampaikan adalah bertujuan untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT dan mematuhi segala suruhan Allah SWT. Dakwah kini menjadi tuntutan bagi semua muslim untuk terus menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Dakwah Islamiyyah yang disampaikan Nabi Muhammad SAW merupakan dakwah yang sempurna dan lengkap serta sesuai dalam semua keadaan dan tempat. Firman Allah SWT:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا ۚ فَمَنِ ٱضْطُرَّ فِى مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍۢ لِّإِثْمٍۢ ۙ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

Maksudnya:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah Al-Maidah 5:3)

Dakwah dari segi bahasa adalah berasal daripada perkataan arab iaitu (دعا يدعو دعوة ودعاية) yang bermaksud seruan, panggilan atau ajakan. Al-Bayanuni yang telah menjelaskan dakwah bermaksud seruan atau menyeru kepada sesuatu. Seruan itu sebagaimana menganjurkan seseorang mendirikan solat, memeluk Islam atau mengajaknya keluar berperang. Ali Mahfuz pula menyatakan dakwah berasal daripada perkataan al-du’a bermaksud menyeru sesuatu atau mendorong seseorang untuk jauh daripada perbuatan kejahatan yang boleh menghilangkan kebaikan di dunia dan di akhirat.

Dakwah dari sudut istilah adalah usaha yang dilakukan seseorang atau kumpulan dengan menggunakan pendekatan tertentu untuk membawa manusia kearah keredhaan Allah SWT. Muhammad al-Ghazali telah menjelaskan dakwah merupakan satu program lengkap yang mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan manusia untuk menjelaskan tujuan dan matlamat hidup selain untuk mendapatkan petunjuk Allah SWT yang menjadi pedoman manusia. Dakwah Islamiah adalah seruan mengajak manusia yang belum Islam kepada Islam serta mempraktikkannya dan juga kepada yang sudah Islam supaya mengamalkan Islam sepenuhnya dalam hidup. Kamus Dewan mendefinisikan dakwah sebagai kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Pendakwah bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan menggunakan pendekatan yang terbaik berdasarkan firman Allah SWT:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

(Surah Al-Nahl 16:125)

    Gerakan dakwah memerlukan pengorbanan yang besar bagi memastikan dakwah dapat disampaikan dalam masyarakat. Ikhtilaf akan berlaku kerana ikhtilaf adalah perkara yang tidak boleh dielakkan dalam berkomunikasi sesama manusia. Ikhtilaf merupakan percanggahan, perbezaan sama ada dalam pemahaman, pemikiran yang boleh menjadi keunikan kepada manusia jika diurus dengan baik dan membawa kepada kerosakan jika sebaliknya.

    Tokoh dakwah yang hebat seperti Fathi Yakan telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran ketika menyampaikan dakwah ketika berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Penyelesaian kepada masalah yang timbul perlu menggunakan penyelesaian yang terbaik sebagaimana dalam menghadapi ikhtilaf, perpecahan dan pergaduhan boleh timbul jika ikhtilaf tidak diuruskan dengan sebaiknya. Fathi Yakan telah berjaya menyatukan masyarakat disamping pelbagai sumbangan beliau kepada masyarakat dan umat Islam.

Biodata Fathi Yakan

Fathi Yakan dilahirkan di Tripoli pada 9 Februari 1933. Tripoli merupakan bandar kedua terbesar di Lubnan serta pusat pentadbiran bagi Lubnan Utara. Mahmud Fathi Muhammad Inayah Syarif Yakan atau lebih dikenali sebagai Mahmud Fathi Yakan adalah nama sebenar beliau. Nama asal beliau ialah Mahmud yang diambil sempena nama datuknya dan ditambah dengan Fathi. Keluarga beliau berasal daripada Turki. Moyang Fathi Yakan, Hamzah Basha Yakan telah berhijrah ke Tripoli selepas berlaku perselisihan faham dengan Sultan Turki ketika itu. Beliau telah berkahwin dengan Mona Haddad dan dikurniakan lima orang cahaya mata, empat orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Fathi Yakan sejak kecil lagi telah dididik dengan persekitaran dan didikan agama yang kuat. Beliau dijaga oleh nenekya iaitu Wasilah yang banyak mengajarkan asas-asas beragama seperti wuduk, solat dan bacaan al-Quran. Beliau telah dilatih oleh nenek beliau dengan tegas untuk berdisiplin dari segi masa. Malah bapa beliau juga sering menjemput para ulama untuk datang ke rumah serta mengadakan majlis zikir dan majlis ilmu setiap minggu. Bacaan al-Quran, bacaan burdah serta alunan qasidah turut dilakukan dalam majlis tersebut.

Beliau telah memasuki sekolah al-Najah al-Wataniah dan kemudian memasuki sekolah al-Numuzaj Sabyan pada usia 10 tahun. Beliau memperoleh diploma dalam bidang perakaunan dari sekolah lelaki Amerika pada tahun 1953. Beliau menyambung pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang kejuruteraan. Pada peringkat Doktor Falsafah, beliau telah menukar bidang pengajian beliau kepada Pengajian Islam dan Bahasa Arab. 

Fathi Yakan telah menulis lebih daripada 40 buah buku merangkumi dakwah dan isu-isu gerakan Islam. Beliau mula terlibat dalam bidang penulisan bermula tahun 1950-an. Antara karya beliau yang terkenal dan menjadi rujukan gerakan Islam di serata dunia adalah Madha Ya’ni Intima’li al-Islam (Apa Erti Saya Menganut Islam). Buku ini menjelaskan mengenai akidah, ibadah dan akhlak dalam Islam serta penjelasan mengenai kewajipan berdakwah dan menggabungkan diri dalam gerakan Islam secara ringkas dan mudah difahami. 

    Karya lain Fathi Yakan yang terkenal adalah Kayf nad’u ila al-Islam dan al-Isti’ab fi Hayah al-Da’wah wa al-Da’iah (Penguasaan dalam kehidupan Dakwah dan Pendakwah). Karya-karya penulisan beliau sangat terkenal sehingga buku Kayf nad’u ila al-Islam telah diulang cetak untuk kali keempat belas pada tahun 1992 dengan anggaran 70000 sehingga 120000 naskah telah terjual. Manakala buku Isti’ab fi Hayah al-Da’wah wa al-Da’iah yang diterbitkan tahun 1982 telah diulang cetak untuk kali kesembilan pada tahun 1990. Buku Madha Ya’ni Intima’li al-Islam pula pada tahun 1990 telah diulang cetak buat kali kelapan. Buku-buku tersebut adalah dalam bahasa arab dan terdapat juga karya-karya beliau yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Penulisan-penulisan lain beliau mengenai gerakan Islam, politik dan permasalahan umat Islam. 

    Fathi Yakan menyertai dunia politik dan memenangi pilihan raya tahun 1992 atas kepercayaan Jamaah Islamiah yang telah memilihnya untuk bertanding. Beliau menjelaskan pemilihannya sebagai ahli parlimen adalah atas tanggungjawab dan bukannya disebabkan kemahsyuran. Beliau merasakan perlu membawa suara Islam dalam dunia politik perkongsian kuasa di Lubnan.

    Beliau dan Mona Haddad adalah individu yang terlibat dengan penubuhan Universiti Jinan Lubnan dan dilantik sebagai salah seorang pemegang amanah universiti tersebut. Kerjasama dua hala telah dijalankan universiti tersebut dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Institut Pengajian Asia Barat Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Pemikiran Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC).

    Fathi Yakan telah meninggal dunia pada 13 Jun 2009 pada usia 76 tahun. Kehilangan besar dalam dunia Islam dirasai  selepas kematian beliau kerana hilangnya tokoh pemikir Islam yang banyak berjasa dalam penulisan dan gerakan dakwah. Penulisan buah fikiran dan karya-karya beliau masih segar untuk dibaca dan dijadikan pedoman oleh umat Islam dari semasa ke semasa.

Pendekatan Dakwah Fathi Yakan

Fathi Yakan merupakan seorang tokoh yang bijak dalam strategi dakwah yang digunakan. Dalam berdakwah, beliau tidak menggunkan pendekatan kekerasan kerana situasi politik dan sosial di Lubnan adalah terdiri daripada pelbagai kaum. Selain itu, beliau telah mendapat pendedahan sejak awal melalui perbincangan bersama ulama yang diadakan dalam majlis di rumahnya serta pendekatan dakwah Ikhwan al-Muslimin yang menggunakan kaedah nasihat-menasihati ketika berinteraksi dengan pemerintah.

Beliau meneruskan dakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat dengan mengadakan halaqah ilmu di kalangan wanita. Isteri Fathi Yakan menjadi kolumnis Majalah al-Mujtama’ iaitu satu-satunya majalah yang berteraskan Islam di Lubnan. Beliau lebih bersemangat dalam berjihad dan penyampaian dakwah melalui kefahaman beliau daripada firman Allah SWT: 

إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ ۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّۭا فِى ٱلتَّوْرَىٰةِ وَٱلْإِنجِيلِ وَٱلْقُرْءَانِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِۦ مِنَ ٱللَّهِ ۚ فَٱسْتَبْشِرُوا۟ بِبَيْعِكُمُ ٱلَّذِى بَايَعْتُم بِهِۦ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

(Surah Al-Taubah 9:111)

    Penulisan menjadi medium utama dalam penyebaran pemikiran. Melalui penulisan juga ilmu pengetahuan dan pandangan dapat disebarkan dan menjadi bacaan umum. Ulama dan cendiakawan Islam turun menggunakan penulisan untuk memindahkan ilmu turun-temurun. Fathi Yakan telah berdakwah menerusi karya-karya penulisan beliau. Buku-buku yang beliau hasilkan banyak membantu pendakwah serta gerakan-gerakan dakwah supaya bergerak lebih teratur dan berlandaskan syariat Islam, Buku-buku Fathi Yakan turut menjadi buku rujukan pilihan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). 

Antara karya penulisan beliau yang terkenal selain dari telah disebutkan adalah:

1) Qawarib al-Najat fi hayat al-Du’at (Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah)

2) al-Mutasaqitun ala Tariq al-Da’ah (Golongan yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah)

3) Muskilat al-da’wah wa al-da’iyyah (Permasalahan dalam dakwah dan Pendakwah)

    Organisasi gerakan Islam perlu diberi perhatian oleh pendakwah menurut Fathi Yakan. Beliau mengemukakan contoh sebagaimana pembentukan Negara Islam yang dilakukan Rasulullah SAW memerlukan kepada organisasi dakwah. Rasulullah SAW tidak menjalankan cara kerja secara individu tetapi menekankan kepada gerakan yang teratur dan sistemetik.

    Kelembutan dalam dakwah adalah perkara penting menurut Fathi Yakan. Pendekatan ini dapat melembutkan dan menguasai orang yang membenci kekasaran atau membenci orang yang bersifat kasar. Dakwah yang disampaikan akan mudah diterima dan difahami pendengar. Sabda Rasulullah SAW:

يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِي عَلَى الرِّفْقِ مَا لَا يُعْطِي عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لَا يُعْطِي عَلَى مَا سِوَاهُ

Maksudnya: 

 “Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya.” 

(Sahih Muslim, 4697) 

    Fathi Yakan menegaskan kesederhanaan dalam kehidupan adalah perkara penting yang perlu ditekankan dalam dakwah. Perbuatan yang melampau dan berlebihan juga dilarang dalam Islam. Konsep kesederhanaan tidak hanya tertakluk untuk diamalkan dalam tindakan atau perbuatan sahaja, tetapi turut melibatkan ketika menikmati makanan walaupun makanan tersebut bersih dan halal. Firman Allah SWT:

 يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍۢ وَكُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ وَلَا تُسْرِفُوٓا۟ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ

Maksudnya:

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

(Surah Al-A’raaf 7:31)

Tanggungjawab menyampaikan dakwah tidak terlepas sekiranya seseorang itu telah bergabung dengan gerakan Islam. Dakwah perlu terus disebarkan oleh muslim kerana dakwah adalah berdasarkan pengorbanan dari pelbagai aspek. Fathi Yakan turut menyentuh mengenai tugas utama pendakwah adalah untuk menyeru kepada agama Islam, mengajak melakukan kebaikan serta mencegah daripada melakukan perkara kemungkaran. Firman Allah SWT:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Maksudnya:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

(Surah Ali Imran 3:110)

Terdapat enam perkara yang digariskan oleh Fathi Yakan dalam membangunkan hidup beragama di kalangan pendakwah. Perkara tersebut adalah membangunkan aspek akidah, Tazkiah al-Nafs dengan membangunkan aspek ibadah, membangunkan akhlak, menjaga keluarga, bermujahadah dan menggabungkan diri dengan harakah Islamiyah. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya:

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)

(Surah Al-Maidah 5:2)

Cabaran dalam menyatukan umat

Ikhwan al-Muslimin merupakan sebuah organisasi dakwah yang cukup berpengaruh di Timur Tengah yang bukan saja meliputi dakwah tetapi turut berpengaruh dalam politik dan sosial. Fathi Yakan lebih terarah kepada pemikiran gerakan Ikhwan al-Muslimin serta jiwa dakwah dan politik Hassan al-Banna. Banyak buku tokoh-tokoh Ikhwan al-Muslimin menjadi rujukan beliau dalam membincangkan soal politik dan ekonomi Islam.

    Jemaah Islamiah merupakan parti politik gerakan Islam yang diasaskan Fathi Yakan dan Faisal Maulawi pada tahun 1964. Ibrahim al-Masri merupakan pemimpin pertama gerakan ini. Parti ini didominasi masyarakat Muslim Sunni Lubnan. Fathi Yakan berpendapat penubuhan Jemaah Islamiah adalah mengikut gerak tersendiri kerana setiap negara mempunyai keadaan tersendiri yang tidak boleh disamakan keadaanya dengan negara lain. Pengalaman dan penstrukturan organisasi dalam masyarakat yang majoriti muslim adalah berbeza dengan negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan ideologi.

    Perbezaan daripada perlbagai latar belakang agama dan aliran parti menyebabkan Fathi Yakan bekerjasama dengan parti-parti politik dan pertubuhan. Yakan menjelaskan terdapat perbezaan antara penyertaan umat Islam dan penyertaan Islam. Penyertaan yang berlaku ini tidak termasuk penyertaan Islam dan juga bukan alternatif kepada pemerintahan Islam. Tujuan utama perlaksanaan pendekatan tersebut adalah untuk mengurangkan risiko kezaliman serta penindasan terhadap umat Islam disamping menjamin kedudukan dan hak dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan umat Islam. Faedah daripada kerjasama yang dijalankan bukan hanya kepada umat Islam sahaja tetapi agama Islam dan gerakan dakwah untuk terus bertapak di Lubnan.

    Fathi Yakan merupakan seorang pendakwah dan tokoh yang berusaha untuk menyatukan golongan Sunni dan Syiah. Tahaaluf telah berlaku antara Fathi Yakan dari Jabhat al-Amal al-Islami dengan Setiausaha Am pergerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah ketika perang Israel-Lubnan 2006. Beliau pernah menjadi imam solat Jumaat bagi golongan Sunni dan Syiah dalam demostrasi menentang Presiden Lubnan, Fouad Siniora. Fathi Yakan telah mencapai kejayaan dalam usaha menyatukan fahaman radikalisme dan pragmatisme dalam satu teori gerakan politik.

    Fathi Yakan menggunakan pendekatan untuk memelihara kesatuan Lubnan kerana perpecahan negara Lubnan mendatangkan kesan yang amat buruk seperti akan terbentuk negara-negara kecil, menanamkan semangat permusuhan, semangat berpuak-puak yang tinggi dan semangat perkauman yang akan memberi kesan dan mengganggu perkembangan dakwah Islam yang dilakukan seterusnya menghalang matlamat-matlamat yang lebih besar daripada dilaksanakan.

Pendekatan menghadapi isu ikhtilaf

Fathi Yakan menekankan bahawa akidah yang sahih dan benar berpandukan apa yang dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Selain itu, kefahaman mengenai akidah perlu mengikut manhaj salaf al-Soleh iaitu dengan memahami teks secara zahir tanpa mentakwilkannya dan tidak mengikuti pendekatan falsafah Yunani mahupun pendekatan hujah mantiq Aristotle.

    Akidah merupakan perkara yang lebih awal diperlukan berbanding keperluan-keperluan lain. Kecenderungan Fathi Yakan adalah berdasarkan dakwah salafi. Bagi mengelakkan perselisihan dalam masalah akidah, Fathi Yakan telah mengambil perkara-perkara yang disepakati majoriti ulama akidah berkaitan keimanan. Penulisan-penulisan dan pemikiran beliau dalah bersandarkan al-Quran dan Hadis Nabi SAW yang dapat mengelakkan daripada fahaman dan pemikiran yang bertentangan dengan Islam. Walau bagaimanapun, beliau berpendapat golongan khalaf yang melakukan takwil tidak boleh dihukum kafir mahupun fasik. Tujuan utamanya adalah untuk mengelakkan perselisihan dan pertelingkahan berpanjangan yang tidak ada kesudahan.

    Fathi Yakan menjelaskan bahawa gerakan Islam perlu mengelakkan perselisihan faham dalam masalah fikrah. Namun, perselisihan pendapat dalam cabang fikrah ini tidak dapat dielakkan sama sekali. Gerakan Islam perlu memainkan peranan penting berfungsi sebagai gerakan yang menyatukan umat Islam dalam masalah-masalah asas dan menggunakan kaedah-kaedah Islam.

    Terdapat beberapa perkara yang ditekankan oleh Fathi Yakan dalam menghadapi perbezaan pendapat dan dalam mengkritik. Syarat-syarat yang diletakkan Islam menurutnya adalah:

1) Menyelidik dahulu tentang kebenaran sebelum mengkritik dan mengkaji khabar angin dan kata-kata yang diterimanya sama ada benar atau tidak. Kritikan tidak boleh dibuat berlandaskan sangkaan dan syak sahaja tetapi perlu berdasarkan bukti-bukti yang kukuh.

2) Menyiasat tujuan dan sebab mengkritik kerana mungkin perbuatan tersebut didorong oleh berdendam, hawa nafsu mahupun tujuan jahat.

3) Menyelidik cara-cara yang betul dan perkataan yang terbaik dalam menyampaikan nasihat. Memberi peringatan perlu dilakukan dengan nasihat-menasihati kearah kebenaran bukannya kearah kebatilan serta dilakukan dengan sopan dan penuh beradab.

4) Dalil syarak perlu dikemukakan dalam nasihatnya bagi menguatkan pendapat dan dilakukan dalam tajuk yang tertentu untuk mengelakkan pertelingkahan jika isu tersebut melarat dari isu asal.

5) Bersifat lapang dada, sabar dan sedia menerima teguran sebagaimana kata-kata Saidina Umar bin al-Khattab: “Orang yang paling aku sukai ialah orang yang dapat menunjukkan kesalahan.”

Penutup

Sumbangan Fathi Yakan sangat besar dalam dunia Islam dari segi penulisan mahupun pemikiran. Karya-karya penulisan beliau berjaya membangkitkan semangat umat Islam untuk menguatkan gerakan Islam di seluruh dunia. Kesepaduan yang utuh dapat dibentuk sekiranya gerakan Islam semakin kuat dan berteraskan syariat Islam yang sebenar. Karya-karya buah fikiran beliau tidak terbatas dalam gerakan dakwah sahaja tetapi turut menyentuh mengenai ekonomi dan sosial umat islam.

    Cabaran dan rintangan yang datang perlu diuruskan dengan sebaiknya. Beliau berjaya membantu menyuarakan Islam di Lubnan menjadi lebih baik melalui gerakannya. Kebijaksanaan beliau dalam mengelakkan perselisihan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam dari segi akidah mahupun fikrah perlu dicontohi. Pertelingkahan yang berpanjangan akan memecahbelahkan umat Islam seterusnya menyebabkan umat islam menjadi lemah dan mudah diserang oleh musuh-musuh Islam. 

Rujukan

Al-Quran.

Ab Aziz Mohd Zin. 1997. Pengantar Dakwah Islamiah. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Asma Kholilah Mohaiyuddin & Mohd Nizam Sahad. 2016. Fathi Yakan dan Sumbangannya dalam Bidang Pemikiran Islam. Jurnal Akidah & Pemikiran Islam 18: 115-144. doi:10.22452/afkar.sp2016no1.5 [6 Disember 2020].

Farida, Umma. 2014. Peran Ikhwanul Muslimin dalam Perubahan Sosial Politik Mesir. Jurnal Penelitian 8(1): 45-70. http://dx.doi.org/10.21043/jupe.v8i1.1340. 

Kamus Dewan. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohamad Zulkifli Abdul Ghani, Abdul Ghafar Don & Adawiyah Ismail. 2018. Pengurusan Ikhtilaf dalam Dakwah. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Azmir bin Maideen. 2013. Memahami Perjuangan Dakwah al-Marhum Fathi Yakan di Lubnan. http://www.tarbawi.my/2013/09/memahami-perjuangan-dakwah-ustaz-fathi.html. 

Mohd Rumaizuddin Ghazali. 2017. Biodata Agung Fathi Yakan. Sepang: Inspirasi I Media.

Muslim, Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi. 1991. Sahih Muslim. Beirut: Dar al-Kuttub al-Ilmiah.

Norul Huda Bakar & Suriani Sudi. 2015. Pembangunan Hidup Beragama di kalangan Pendakwah Menurut Pandangan Fathi Yakan: Satu Analisis. Kertas kerja Seminar Antarabangsa Akidah, Dakwah dan Syariah 2015 (IRSYAD 2015), Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Univeristi Islam Antarabangsa Selangor. Kuala Lumpur, 12-13 Oktober. https://pdfslide.tips/documents/pembangunan-hidup-beragama-di-kalangan-pendakwah-menurut-.html. 

Rabil, Robert. 2013. Fathi Yakan The Pioneer of Islamic Activism in Lebanon. The Levantine Review 2(1): 54-65. https://doi.org/10.6017/lev.v2i1.5082. 

Salasiah Hanin Hmajah. 2016. Dakwah dan Perubahan Sosiobudaya. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sulaiman Ibrahim & Fariza Md Sham. 2008. Metodologi Dakwah PPPY 1222. Bangi: Pusat Perkembangan Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Suzanah Nilam. 2012. Gerakan dakwah di Kota Kinabalu: Kajian terhadap Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA). Disertasi Sarjana, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. http://studentsrepo.um.edu.my/5354/3/DISERTASI_SUZANAH_BINTI_NILAM.pdf

https://www.google.com/url?sa=i&url=https%3A%2F%2Falchetron.com%2FFathi-Yakan&psig=AOvVaw2OJ_ObMC2uuRvCmz80CziR&ust=1627499506146000&source=images&cd=vfe&ved=2ahUKEwil9eCg-oPyAhUvMbcAHa9RDrIQr4kDegUIARCXAQ

Comments

Popular posts from this blog

Empowering Lives: The Vital Role of Motivation and Support

Ayat-Ayat Al-Quran Yang Berkaitan Dengan Psikologi