Isu penggunaan telefon bimbit pada masa kini

Pada zaman dahulu, terdapat pelbagai cara yang manusia gunakan untuk berhubung. Keperluan kepada berkomunikasi antara satu sama lain telah menyebabkan manusia menggunakan pelbagai cara supaya dapat berhubung. Antara cara-cara yang digunakan adalah menggunakan asap, burung merpati, telegraf, dan juga menghantar surat. Telefon juga merupakan alat yang dicipta manusia dengan tujuan menghubungkan sesorang dengan yang lain.

    Telefon merupakan suatu alat perhubungan yang amat terkenal ketika ini yang memancar dan menerima bunyi walupun berada pada jarak yang jauh. Ianya dianggap sebagai satu keperluan bagi semua orang kini. Telefon berasal daripada perkataan bahasa Inggeris, telephone yang berasal daripada bahasa Yunani; tele = jauh dan phone = suara. Telefon telah dicipta oleh Alexander Graham Bell yang merupakan orang pertama yang berjaya suaranya melalui telefon. Beliau juga merupakan orang pertama menggunakan telefon berkebolehan dwi-arah iaitu penghantar dan penerima isyarat. Kejayaan penciptaan telefon ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang berlaku dalam cara perhubungan.

    Telefon telah mengalami perubahan dari masa ke semasa. Selaras dengan perubahan zaman, telefon juga mengalami evolusi yang melibatkan luaran dan dalaman telefon. Pada awal penciptaan telefon, telefon mempunyai saiz yang amat besar dan berat. Fungsi dan kegunaannya pada awal hanyalah terbatas untuk membuat panggilan dalam tempoh yang singkat.

    Telefon pada masa kini pula penggunaannya bukan sahaja terbatas sebagai alat komunikasi akan tetapi terdapat juga beberapa fungsi lain. Harga telefon juga bergantung kepada spesifikasi telefon tersebut. Semakin banyak dan semakin canggih spesifikasi yang ditawarkan, semakin tinggi harga telefon tersebut. Telefon kini lebih dikenali sebagai telefon bimbit kerana saiznya yang kecil dan mudah alih. Telefon juga dikenali sebagai telefon pintar kerana kebolehannya dalam menjalankan pelbagai fungsi yang dapat memudahkan urusan seharian manusia.

Isu-isu penggunaan telefon bimbit


Remaja dan kanak-kanak pada waktu dahulu kebiasaannya menghabiskan masa mereka bermain di luar rumah. Mereka bermain bersama-sama dan dapat menimba pengalaman ketika berada di luar. Bermain dan membuat aktiviti di luar dapat menjadikan seseorang lebih sihat dengan mengeluarkan peluh disamping dapat mewujudkan dan meningkatkan interksi antara satu sama lain.

    Pada masa kini, remaja lebih gemar meluangkan masa bermain permainan mudah alih didalam telefon bimbit. Antara permainan mudah alih terkenal yang menjadi kegilaan pada masa kini adalah Mobile Legends: Bang Bang dan Playerunknown’s Battlegrounds (PUBG). Mereka juga lebih gemar duduk dirumah dan meluangkan masa bermain dan berinterasksi bersama rakan mereka hanya di dalam permainan. Telefon bimbit juga mengurangkan serta melenyapkan aktiviti fizikal kanak-kanak di luar rumah seperti bersukan bersama-sama, selain membataskan komunikasi antara mereka. Mereka lebih selesa berbaring dan duduk sahaja sambil bermain telefon bimbit. Penerusan gaya hidup sebegini sememangnya akan meningkatkan kadar masalah kesihatan disamping meningkatkan masalah obesiti.

    Sebelum kewujudan telefon bimbit, kadar mereka yang rabun adalah rendah kerana kurangnya terdedah kepada cahaya yang boleh membahayakan mata. Komputer dan televisyen antara faktor yang menyebabkan rabun jika menggunakannya secara berlebihan. Mata tidak berasa cepat letih kerana mata terjaga kerana kurangnya melihat cahaya yang membahayakan mata.

    Penggunaan telefon bimbit secara berlebihan dapat menyebabkan kerosakkan pada mata. Semakin banyak cahaya biru yang masuk ke mata, semakin banyak sel photoreseptor yang mati, menyebabkan penglihatan kita terjejas. Cara menggunakan telefon juga dapat memberi kesan kepada seseorang. Melihat ke skrin telefon secara rapat dan lama meningkatkan lagi risiko seseorang untuk rabun. Semakin ramai yang memakai kaca mata walaupun pada usia yang muda kerana rabun. Telefon pintar juga boleh menjadi tempat pengumpulan kuman malah lebih kotor daripada pemegang berus tandas. Selain itu, telefon bimbit akan mengeluarkan gelombang semasa kita menjawab telefon dan akan mengganggu fungsi saraf otak sehingga menyebabkan barah atau kanser.

    Gaya berbelanja turut memberi kesan kepada pengguna yang menggunakan telefon bimbit ini. Membeli telefon bimbit pada ketika dahulu hanyalah sebagai keperluan untuk berhubung sahaja. Duit yang digunakan untuk membeli telefon juga digunakan dengan cermat dan berjimat. Baki duit tersebut selebihnya disimpan untuk kegunaan pada masa akan datang dan pada waktu kecemasan.

    Berbeza pada masa kini, harga telefon bimbit mencecah sehingga ribuan Ringgit Malaysia turut dibeli oleh pengguna semata-mata ingin menunjuk-nunjuk. Para pelajar juga tidak terkecuali bagi mendapatkan telefon yang mempunyai tanda harga yang mahal. Telefon bimbit pada masa kini menjadi simbol kekayaan seseorang. Jika seseorang tidak mendapatkan telefon bimbit yang terbaru, maka seseorang itu dianggap ketinggalan kerana tidak mengikuti arus terkini. Tidak kurang juga ada yang sanggup berhutang semata-mata ingin mendapatkan telefon idaman mereka tetapi mereka gagal dalam merancang perbelanjaan mereka dan mendatangkan kerugian pada diri.

    Hubungan kekeluargan pada masa dahulu lebih erat. Masa yang diluangkan bersama keluarga lebih berharga dan dimanfaatkan sepenuhnya. Tidak wujud jurang antara ahli keluarga kerana dapat interaksi yang dilakukan bersama serta masa yang diluangkan dapat mengeratkan serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Adat dan budaya turut dapat dikekalkan kerana adat seperti kunjung-mengunjung terus diamalkan dan interaksi ini sememangnya dapat mendatangkan kesan yang baik kepada hubungan kekeluargaan Telefon digunakan untuk bertanya khabar akan tetapi interaksi secara berhadapan lebih banyak dilakukan berbanding interksi menggunakan telefon bimbit.

    Kanak-kanak dan remaja masa kini telah kurang berkomunikasi dengan ibu bapa dan orang yang lebih dewasa kerana keasyikan mereka bermain telefon bimbit. Mereka yang dewasa juga tidak terlepas daripada mengalami perubahan ini. Mereka juga lebih selesa berinteraksi dengan ibu bapa melalui telefon bimbit tanpa melakukan interaksi dua hala secara berhadapan. Penggunaan telefon bimbit secara berlebihan dapat melebarkan jurang interaksi antara kanak-kanak dan remaja dengan ibu bapa mahupun kepada orang dewasa. Walaupun berkumpul bersama-sama disuatu tempat, kebanyakkan orang sibuk bermain dan fokus dengan telefon bimbit berbanding bersembang dengan yang lain.
 
    Telefon bimbit digunakan bagi bertanya khabar mahupun menyampaikan berita penting. Telefon juga digunakan dalam mencari maklumat untuk menambahkan pengetahuan dan mengetahui perkembangan terkini. Selari dengan perkembangan teknologi, masyarakat menggunakan telefon bimbit bersama internet pada awalnya menggunakannya kepada perkara yang bermanfaat.

    Penggunaan telefon bimbit secara tidak terkawal menyebabkan peningkatan masalah sosial dalam masyarakat. Kecanggihan serta kepelbagaian fungsinya menyebabkan telefon bimbit telah disalahguna. Dengan adanya capaian internet, pelbagai perkara buruk yang boleh berlaku dengan menggunakan telefon bimbit. Statistik menunjukkan telefon bimbit menjadi punca peningkatan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat pada masa kini. Remaja juga menjadikan telefon untuk menonton pornografi dan video lucah. Ketagihan kepada menonton perkara yang tidak baik ini juga akan melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai moral yang rendah.

Kaedah mengatasi penggunaan telefon bimbit secara berlebihan


Pengguna telefon bimbit itu sendiri perlulah bijak dalam mengggunakan telefon dengan sebaiknya. Penggunaan telefon bimbit perlulah dihadkan masanya dalam kehidupan seharian. Terlalu lama meluangkan masa dengan telefon bimbit akan mendatangkan pelbagai kesan yang buruk. Untuk mengelakkan perkara tersebut, seseorang perlu membahagikan masa dengan baik dapat meningkatkan interaksi dua hala dan dapat mewujudkan hubungan yang lebih akrab.

    Ketika membeli telefon bimbit, pengguna perlulah bijak berbelanja bagi memastikan duit yang dibelanjakan dapat digunakan dengan sebaiknya sekaligus mengelakkan pembaziran. Membeli telefon bimbit perlulah berdasarkan kemampuan diri sendiri seperti peribahasa ukur baju di badan sendiri. Setiap tahun akan ada pelbagai model telefon yang dikeluarkan dan semakin hari semakin maju. Tidak perlu berhutang semata-mata hanya ingin kelihatan mewah dan sentiasa mengikut arus kemodenan.

    Pemantauan ibubapa sememangnya perlu dalam membendung masalah sosial yang berlaku pada masa kini yang disebabkan oleh tiada pemantauan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. Ibubapa seharusnya mengambil tahu apakah yang dilakukan oleh anak-anak mereka dengan telefon bimbit. Sikap tegas terhadap anak-anak juga adalah perlu dengan meminta mereka menunjukkan laman web yang sering mereka lawati bagi memastikan anak-anak tidak terlibat dengan elemen-elemen yang mendedahkan mereka kepada laman web yang tidak sihat dalam konteks perkembangan sosial mereka.

    Perkembangan sesorang perlulah seimbang daripada pelbagai aspek seperti jasmani, intelek, emosi, dan sosial. Aktiviti berbentuk riadah dan aktiviti luar rumah dapat menjamin perkembangan fizikal mereka berkembang dengan baik serta membekalkan dengan pengalaman kehidupan yang sebenar. Ibubapa juga seharusnya mengalakkan anak-anak melibatkan diri dan berinteraksi dengan dunia luar. Aktiviti seperti ini dapat mengurangkan risiko obesiti dalam kalangan masyarakat dan mengurangkan serangan penyakit seperti serangan jantung, hipertensi dan diabetis pada usia muda.





Comments

Popular posts from this blog

Tokoh Dakwah: Fathi Yakan

Empowering Lives: The Vital Role of Motivation and Support

Ayat-Ayat Al-Quran Yang Berkaitan Dengan Psikologi