Padang Mahsyar
Sebagai seorang muslim, kita wajib mempunyai keimanan yang kuat serta berpegang dan mempercayai dengan Rukun Iman. Sebagaimana Nabi SAW menafsirkan pengertian iman dengan hadis yang panjang telah diriwayatkan oleh Umar al-Khattab RA ketika Nabi SAW disoal oleh malaikat Jibril AS.
Sabda Rasulullah SAW :
أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره
(al-Muslim, Sahih al-Muslim, Kitab Iman, Bab Penjelasan tentang Iman, Islam dan Ihsan)
Maksudnya : “Bahawa kamu beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, hari kiamat, dan qada’ dan qadar sama ada baik atau buruk.”
Salah satu daripada iman adalah beriman dengan hari kiamat. Beriman dengan hari kiamat dalah percaya akan berakhirnya kehidupan dunia dan memasuki kehidupan akhirat selepasnya, ianya bermula dengan kematian dan kehidupan di alam barzakh, diikuti dengan berlakunya kiamat kemudian dibangkitkan semula seluruh manusia dan dihimpunkan di Padang Mahsyar, selepas itu mereka akan menerima balasan sama ada ke syurga atau neraka.
Maksud Mahsyar
Dari segi bahasa, Mahsyar berasal daripada perkataan hasyr yang bermaksud menghimpun. Penggunaan hasyr juga banyak kali di ulang didalam Al-Quran dan mempunyai maksud tertentu.
Firman Allah SWT :
قَالَ مَوۡعِدُكُمۡ يَوۡمُ ٱلزِّينَةِ وَأَن يُحۡشَرَ ٱلنَّاسُ ضُحى
(Al-Quran, Taha 20:59)
Maksudnya : Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha".
Dari segi syarak, mahsyar bermaksud tempat yang menghimpunkan segala makhluk setelah dibangkitkan. Di mahsyar ini, manusia akan berhadapan dengan Allah SWT dan dihisab segala amal perbuatan yang telah dilakukan selama hidupnya di dunia, akan diteliti dan diperiksa dengan teliti dan saksama oleh Allah SWT, dengan memperlihatkan dan menunjukkan tanda-tanda bukti yang dicatat oleh dua orang malaikat (Raqib dan Atid).
Mahsyar juga tempat berkumpulnya seluruh umat manusia untuk mempertanggungjawabkan segala perbuatan yang dilakukannya selama hidup di dunia. Setelah manusia dibangkitkan daripada alam kubur, manusia akan dibawa ke tempat pengunpulan iaitu Mahsyar. Di Mahsyar, seluruh kehidupan bermula daripada Nabi Adam AS hinggalah ke manusia yang terakhir menghadapai kiamat akan dihimpunkan.
Firman Allah SWT :
إِنَّ ٱلۡأَوَّلِينَ ٱلۡأَوَّلِينَ وَٱلۡأٓخِرِينَ (٤٩) لَمَجۡمُوعُونَ إِلَىٰ مِيقَٰتِ يَوۡم مَّعۡلُوم (٥٠)
(Al-Quran, al-Waqiah 56:49-50)
Maksudnya : Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian, "Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan - pada hari kiamat yang termaklum.
Dalil berkaitan Mahsyar
Terdapat banyak dalil yang berkaitan Mahsyar telah disebut didalam Al-Quran. Allah mengulanginya pada banyak tempat didalam Al-Quran sebagai bukti yang kukuh bahawa manusia akan dihimpunkan setelah dibangkitkan dari alam kubur.
Firman Allah SWT :
وَتَرَكۡنَا بَعۡضَهُمۡ يَوۡمَئِذ يَمُوجُ فِي بَعۡضۖ وَنُفِخَ فِي ٱلصُّورِ فَجَمَعۡنَٰهُمۡ جَمۡعا
(Al-Quran, al-Kahfi 18:99)
Maksudnya : Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.
Allah SWT akan mengumpulkan seluruh manusia serta menyatukan mereka kelak pada hari kiamat, dan hal tersebut berlaku bagi seluruh manusia, sama ada mereka yang mati dikubur, atau dimakan haiwan buas, terbakar, tenggelam ditengah laut, atau meninggal dengan sebab-sebab lain.
Firman Allah SWT :
أَيۡنَ مَا تَكُونُواْ يَأۡتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡء قَدِير
(Al-Quran, al-Baqarah 2:148)
Maksudnya : Kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Selanjutnya Allah SWT berfirman :
وَيَوۡمَ نُسَيِّرُ ٱلۡجِبَالَ وَتَرَى ٱلۡأَرۡضَ بَارِزَة وَحَشَرۡنَٰهُمۡ فَلَمۡ نُغَادِرۡ مِنۡهُمۡ أَحَدا
(Al-Quran, al-Kahfi 18:47)
Maksudnya : Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.
Menurut Al-Ghazali, padang Mahsyar itu suatu dataran bumi yang luas, saujana mata memandang tidak dapat dihitung dengan ilmu manusia, keadaan bumi yang putih dan rata, tiada gunung ganang dan tiada pokok kayu untuk dijadikan tempat berteduh. Pada dataran putih itulah manusia yang baru dibangkitkan semula dihalau ke sana seperti binatang ternakan keluar dari kandangnya atau seperti kanak-kanak baru lahir, dengan keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa pakaian (https://epondok.wordpress.com/2012/01/13/dahsyatnya-keadaan-di-padang-mahsyar/).
Allah SWT telah berfirman mengenai Mahsyar :
فَإِنَّمَا هِيَ زَجۡرَة وَٰحِدَة (١٣) فَإِذَا هُم بِٱلسَّاهِرَةِ (١٤)
(Al-Quran, al-Nazi’at 79:13-14)
Maksudnya : (Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua), Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata.
Sabda Rasullullah SAW :
حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي مَرْيَمَ أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو حَازِمٍ قَالَ سَمِعْتُ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى أَرْضٍ بَيْضَاءَ عَفْرَاءَ كَقُرْصَةِ نَقِيٍّ قَالَ سَهْلٌ أَوْ غَيْرُهُ لَيْسَ فِيهَا مَعْلَمٌ لِأَحَدٍ
(al-Bukari, Sahih al-Bukhari, Kitab Hal-hal yang melunakkan hati, Bab Allah menggenggam bumi pada hari kiamat)
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Sa'id bin Abu Maryam telah mengabarkan kepada kami Muhammad bin Ja'far berkata: telah menceritakan kepadaku Abu Hazim mengatakan, aku mendengar Sahal bin Sa'd mengatakan, aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Pada hari kiamat manusia dikumpulkan diatas tanah putih cemerlang bagaikan roti yang bersih." Kata Sahal, disana tak ada satu tanda pun bagi seseorang.
Rasulullah SAW juga bersabda :
حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ مَخْلَدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جَعْفَرِ بْنِ أَبِي كَثِيرٍ حَدَّثَنِي أَبُو حَازِمِ بْنُ دِينَارٍ عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى أَرْضٍ بَيْضَاءَ عَفْرَاءَ كَقُرْصَةِ النَّقِيِّ لَيْسَ فِيهَا عَلَمٌ لِأَحَدٍ
(al-Muslim, Sahih al-Muslim, Kitab sifat hari kiamat, syurga dan neraka, Bab hari kebangkitan dan penghimpunan)
Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah: telah menceritakan kepada kami Khalid bin Makhlad dari Muhammad bin Ja'far bin Abu Katsir telah menceritakan kepadaku Abu Hazim bin Dinar dari Sahl bin Sa'd dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Pada hari kiamat kelak manusia akan dikumpulkan di bumi yang sangat putih berbentuk bulat pipih dan datar tanpa ada tanda bagi siapapun di atasnya."
Rujukan
Al-Quran.
Abdul Mujieb, Ahmad Ismail & Syafi’ah. Ensiklopedia Tasawuf Imam Al-Ghazali. 2009.
Jakarta: Penerbit Hikmah.
Asy-Syaqawi, Amin ibn Abdullah. 2013. Pemandangan Hari Kiamat. Terj. Abu Umamah Arif
Hidayatullah. t.tp.
Kamus Al-Kautsar. 1989. Kuala Lumpur: Victory Agencie.
M. Ali Chasan Umar. 1982. Mahkamah di Padang Mahsyar. Singapura: Alharamain Pte. Ltd.
Hizbur Rahman. 2012. Dahsyatnya keadaan di Padang Mahsyar. https://epondok.wordpress.com/2012/01/13/dahsyatnya-keadaan-di-padang-mahsyar/
Comments
Post a Comment