Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

PENGUKUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN PASCA PKP DARI ASPEK AGAMA

Dalam mengukuhkan institusi keluarga pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengukuhan daripada aspek agama perlu ditekankan. Agama merupakan perkara asas dalam kehidupan seseorang. Tanpa agama, manusia akan terpesong serta jauh daripada landasan kebenaran serta tiada tujuan dalam hidup. Pembentukkan sahsiah dan akhlak yang mulia pada diri seseorang dapat dibentuk dengan menekankan aspek agama sebagai tunjang dalam kehidupan manusia.

    Amalan solat fardu berjemaah bersama ahli keluarga dirumah dapat dilaksanakan sewaktu PKP memberikan kesan yang besar kepada kehidupan berkeluarga. Sebelum ini ada keluarga yang tidak pernah melaksanakan solat berjemaah bersama dirumah. Perlaksanaan PKP telah merubah keadaan ini. Bapa menjadi imam kepada isteri serta anak-anak dalam keluarga. Penggiliran imam dan bilal boleh ditetapkan oleh bapa agar anak-anak lebih bersemangat menunaikan solat berjemaah. Anak-anak yang sebelum ini kebiasaannya solat secara bersendirian dapat menunaikan solat bersama ibu bapa dirumah. Perubahan ini semestinya satu perubahan yang sangat baik dari segi menguatkan lagi hubungan kekeluargaan disamping membentuk keluarga sakinah yang selaras dengan tuntutan Islam. Ini kerana amalan solat fardu berjemaah pada awal waktu mendatangkan kesan yang baik dalam hubungan kekeluargaan serta mendapat ganjaran pahala yang besar.

Sabda Rasulullah SAW:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

    Walaupun selepas PKP tamat ibu bapa sudah mula bekerja, amalan ini perlu diteruskan ahli keluarga yang berada dirumah. Selepas solat berjemaah juga boleh dilakukan majlis ilmu seperti tazkirah, membaca kitab-kitab agama dan melakukan perbincangan bersama ahli keluarga. Ibu atau bapa boleh membacakan kisah-kisah nabi kepada anak-anak untuk difahami bersama. Dengan meneruskan pelaksanaan solat berjemaah dirumah, anak-anak akan terdidik untuk mengamalkan solat berjemaah walau berada dimana-mana. Amalan solat pada awal waktu akan diteruskan kerana telah menjadi kebiasaan bagi anak-anak. Ibu bapa hendaklah terus memantau ibadah anak-anak dan menegur jika ada kesalahan yang dibuat. 

Jika sebelum ini ada yang jarang hadir ke masjid, ibu bapa boleh membawa anak-anak hadir ke masjid untuk solat fardu berjemaah bersama-sama. Selain itu, ibu bapa juga boleh membawa anak-anak lebih kerap ke masjid untuk menghadiri daurah, menghadiri kuliah agama serta mengikuti kelas pengajian di masjid bersama-sama. Karnival masjid juga menjadi tempat untuk sekeluarga meluangkan masa bersama. Masjid bukan sahaja sebagai tempat solat, tetapi juga sebagai tempat untuk mendapatkan dan mendalami ilmu. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak supaya cintakan masjid dan sentiasa berpegang teguh dengan ajaran agama serta tidak melakukan perkara yang dilarang dalam agama. 

PENGUKUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN PASCA PKP DARI ASPEK PENDIDIKAN

Pengukuhan institusi keluarga pacsa PKP turut perlu ditekankan dalam aspek pendidikan. Ilmu dan pendidikan dapat membentuk seseorang menjadi insan yang bersifat mulia dan mempunyai keperibadian yang baik. Orang yang menuntut ilmu juga akan mendapat pelbagai kelebihan dan mendapat ganjaran pahala.

Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.

Riwayat Muslim (4867)

    Pendidikan yang boleh diterapkan bukan sahaja berdasarkan buku semata-mata, akan tetapi pembelajaran dan pengajaran secara langsung yang boleh diaplikasikan anak-anak dalam kehidupan seharian juga merupakan satu pendidikan kepada anak-anak. Penerapan nilai murni dan akhlak yang baik juga perlu diutamakan. Kemahiran yang dimiliki ibu bapa bolehlah dikongsikan kepada anak-anak secara tidak langsung dapat menambah ilmu pengetahuan seperti memasak. Ilmu seperti ini bukan sahaja berguna untuk masa kini tetapi sangat berguna untuk masa hadapan anak-anak. Contohnya, ketika waktu PKP ibu bapa dan anak-anak dapat belajar cara membuat pelbagai jenis kek bersama. Selepas PKP, dengan mengetahui cara-cara membuat kek ketika tempoh PKP itu boleh menjana sumber pendapatan dengan membuat perniagaan menjual kek bersama. Dalam masa yang sama, cara ini dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak selain daripada dapat mendatangkan pendapatan tambahan kepada keluarga.

    Selain itu, ibu bapa perlu menyediakan peranti yang diperlukan untuk pembelajaran atas talian selaras dengan perkembangan teknologi pada masa kini seperti komputer riba dan telefon yang mempunyai akses internet. Pelbagai laman web pendidikan yang boleh dimanfaatkan untuk pembelajaran atas talian. Ibu bapa boleh bersama-sama bermain permainan interaktif atas talian yang berasaskan pendidikan. Cara ini merupakan salah satu cara pembelajaran dapat diterapkan walaupun secara santai. Kaedah pembelajaran atas talian ini amat berguna kepada pelajar dan dapat membantu pelajar untuk belajar walaupun berada dimana-mana. Masa yang ada tidak akan dibazirkan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

    Dalam kesibukan ibu bapa bekerja, ibu bapa juga perlu mengambil berat berkaitan pembelajaran anak-anak seperti meluangkan masa membantu anak-anak dalam pelajaran, bertanya kepada anak-anak apa yang mereka pelajari di sekolah serta memantau perkembangan akademik mereka. Anak-anak kadangkala mempunyai masalah dalam pembelajaran akan berasa selesa untuk berkongsi masalah yang mereka hadapi jika ibu bapa mengambil berat keadaan mereka. Perasaan sedih, risau dan rasa diabaikan akan dialami oleh anak-anak yang tidak dipedulikan oleh ibu bapa seterusnya dapat menganggu emosi dan memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan berkeluarga.

    Bagi memupuk sifat suka membaca dan cintakan ilmu dalam kalangan anak-anak, ibu bapa perlu bijak menggunakan cara untuk menarik minat anak-anak membaca. Ibu bapa boleh menetapkan satu hari seperti hari Ahad setiap minggu untuk dijadikan hari membaca. Ibu bapa boleh membuat aktiviti membaca bersama anak-anak untuk mempupuk minat membaca daripada kecil. Aktiviti membaca buku juga tidak semestinya dilakukan dirumah sahaja. Ibu bapa boleh membaca bersama anak-anak di taman-taman, tempat rekreasi yang bukan sahaja dapat menambah ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama. Pemupukan sikap suka membaca dan cintakan ilmu akan mendatangkan manfaat yang besar dengan melahirkan individu, keluarga seterusnya generasi serta masyarakat yang mempunyai tahap intelek yang tinggi serta luas pengetahuan dan penguasaan dalam bidang ilmu. 


RUJUKAN

Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2016). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-109: Kelebihan Menuntut Ilmu. (atas talian) https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu (5 Jun 2020)

Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2019). Al-Kafi #1070 : Solat Berjemaah Selain Di Masjid Adakah Dapat Ganjaran 27 Kali Ganda ? (atas talian) https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3059-al-kafi-1070-solat-berjemaah-selain-masjid-adakah-dapat-ganjaran-27-kali-ganda (4 Jun 2020)

Norsayyidatina Che Rozubi (2020). Manfaat masa tingkat hubungan ibu bapa, anak (atas talian) https://www.hmetro.com.my/utama/2020/03/560915/jadual-giliran-imam-bilal-untuk-anak  (5 Jun 2020)

Paimuzi Yahya (2020). Perkukuh bina keluarga bahagia. (atas talian) https://www.hmetro.com.my/addin/2020/04/566551/perkukuh-bina-keluarga-bahagia (4 Jun 2020)

Redzuan Muharam (2020). Jadual giliran imam, bilal untuk anak (atas talian) https://www.hmetro.com.my/utama/2020/03/560915/jadual-giliran-imam-bilal-untuk-anak (6 Jun 2020)

Samsilah Roslan. (2020). PKP uji Kerjasama ibu bapa, guru (atas talian) https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/04/676871/pkp-uji-kerjasama-ibu-bapa-guru (6 Jun 2020)


Comments

Popular posts from this blog

Tokoh Dakwah: Fathi Yakan

Empowering Lives: The Vital Role of Motivation and Support

Ayat-Ayat Al-Quran Yang Berkaitan Dengan Psikologi